Monday, April 6, 2009

IBNU SINA : PAKAR PERUBATAN & FALSAFAH ISLAM YANG TERULUNG


Sebelum kedatangan ilmu perubatan Muslim, tidak ada ilmu perubatan yang bernilai dipraktikkan di Eropah. Sememangnya diakui oleh semua ahli Sejarah moden bahawa ilmu perubatan Barat dipengaruhi oleh perubatan Muslim. Di Eropah pada abad ke-14 hingga ke-17 M, ilmu perubatan Muslim telah dikaji dengan bersungguh- sungguh oleh penuntut- penuntut Eropah dan hanya pada abad ke- 19 M iaitu kira- kira seabad yang lalu, perubatan Muslim dihapuskan daripada kurikulum institusi pelajaran di sekolah- sekolah di Barat. Pada abad ke- 19 M, Eropah telah mula mengatakan bahawa Copernicus (meninggal pada 1543) sebagai tokoh pertama dalam lapangan Astronomi dan Paraceisus (meninggal pada 1541) tokoh dalam lapangan kedoktoran dan kimia.
Ibnu Sina mentakrifkan ilmu perubatan sebagai suatu bidang pengetahuan yang memperkenalkan tentang keadaan sakit dalam tubuh manusia, bermatlamat menggunakan cara- cara yang sesuai untuk mempertahan serta memulihkan kesihatan.
Sumbangan Ibnu Sina
Ibnu Sina telah menghasilkan 7 buah buku setahun. Oleh itu, sepanjang hayatnya beliau berjaya menulis sejumlah 456 buah buku. Bukunya yang termasyhur ialah Al- Qanun fi at- Tib atau Qanon of Medicine. Buku ini mengandungi satu juta perkataan dan dibahagikan kepada 5 jilid. Kandungan buku ini termasuklah asas- asas umum ilmu perubatan dan jenis- jenis ubatan dan disusun sebagai satu farmokepeia. Buku tersebut telah menjadi buku teks dan rujukan paling terkenal digunakan selama 6 abad di universiti- universiti Eropah.
Keagungan Ibnu Sina terus kekal sehingga abad ke- 17 M. Buku- buku Ibnu Sina menerangkan tentang gejala-gejala penyakit seperti diabetes, tetanus, perubahan sistem badan, fiosologi tidur, pengaruh iklim terhadap kesihatan dan penyakit. Beliau juga mengutarakan penyakit tibi boleh berjangkit melalui bawaan udara. Beliau telah membincangkan tentang proses penyediaan ubat yang dilengkapi dengan nama sebatian, penggunaan, cara penyediaan dan penyimpanan.
Ibnu Sina juga banyak menulis karya perubatan dalam bahasa Arab dan beberapa buah karya dalam bahasa Parsi.Beliau terkenal dengan asas- asas falsafah ilmiah perubatan serta kecenderungannya dalam menguasai cara rawatan yang menggunakan unsur-unsur pasikologi bagi merawat penyakit jasmani atau perubatan psikomatik.
Ketokohan Ibnu Sina dalam bidang perubatan sangat dikagumi oleh masyarakat Islam. Malah beliau tergolong sebagai ahli Falsafah seiring dengan kemasyhuran Al- Kindi, Al- Biruni, Al- Farabi dan Ibnu Rusd. Bagaimanapun, beliau merupakan orang yang paling masyhur antara mereka dan namanya cukup gah sama ada di Timur atau Barat. Boleh dikatakan asas ilmu perubatan sekarang berasal daripada konsep- konsep yang ditimbulkan oleh pakar-pakar perubatan Islam. Tanpa sumbangan mereka, perubatan moden hari ini tidak akan secanggih sekarang.

Rujukan :
Samsu Adabi Mamat, Wan Ramli Wan Muhamad, 2002, Cendekiawan Islam Perintis Peradaban Manusia.
Burhanuddin Yatim, Sulaiman Nordin (1997), Sains menurut Perspektif Islam.
Hassan Ahmad, 1985, Pengenalan Tamadun Islam dalam Ilmu Perubatan.

No comments:

Post a Comment