Sunday, April 5, 2009

Pembahagian Jiwa Menurut Ibnu Sina


Ibnu Sina telah mengembangkan teori jiwa yang dikemukakan oleh ‘Al- Farabi’ dengan istilah lebih tersusun dan memuaskan. Ada 3 bahagian jiwa yang disenaraikan oleh Ibnu Sina iaitu :
-Jiwa Tumbuh-tumbuhan
-Jiwa Haiwan
-Jiwa Manusia
Tiap-tiap kejadian ini mempunyai daya kekuatan jiwa yang tersendiri yang akan dibincangkan di bawah bahagian-bahagian tersebut.

a. Jiwa Tumbuhan
Ia merupakan penyempurnaan pertama kepada jisim tabi’i yang lengkap dari sudut melahirkan baka, memelihara dan pemakanan. Ibnu Sina telah membahagikan kepada 3 kekuatan iaitu :

· Kekuatan Nutrisi (Al-Qhadiyyah) ialah kekuatan menempatkan jisim yang lain ke dalam jisim yang sama yang ada padanya supaya ia dapat berdamping mengambil apa yang diterima daripadanya. Ia merupakan proses pemakanan yang berlaku dalam tumbuh-tumbuhan.
· Kekuatan Penumbuh (Al-Mutmiyyah), ialah kekuatan menambah kekuatan jisim sehingga berlaku perubahan pada jisim seperti panjang, lebar, datar dan dalam, sesuai dengan kadar keupayaan meneriam kesempurnaan.
· Kekuatan Generatif (Al-Maulidah) ialah kekuatan melahirkan baka dari bahagian-bahagian jisim yang sama iaitu yang dapat mengembangkan jisim-jisim yang lain yang sama dari segi penciptaan dan tabiat semulajadi.


b. Jiwa Haiwan
Ia merupakan penyempurnaan pertama kepada jisim tabi’i yang lengkap dari sudut apa tang difahami dari juzuk-juzuk pergerakannya itu adalah dengan iradah. Jiwa haiwan terbahagi kepada dua bahagian :
· Pergerakan - terbahagi kepada 2 jenis iaitu :
I. Pergerakan yang timbul dari dorongan (impulse) dan pergerakan yang timbul dari kecergasan (perceptive). Kekuatan yang timbal dari dorongan ini ialah kekuatan kecenderungan dan keinginan yang terlukis di dalam khayalan suatu gambaran yang diingini ataupun yang tidak. Kecenderungan dan keinginan yang terlukis di dalam khayalan suatu gambaran yang diingini ataupun yang ditakuti, maka kekuatan inilah yang menggerakkannya samada mencari perlindungan atau sebagainya. Ia terdapat dalam 2 bentuk iaitu kekuatan syahwat dan marah. Kekuatan syahwat ini menimbulkan keinginan untuk bersuka ria, manakala kekuatan marah pula membangkitkan keinginan untuk menguasai.
II. Sementara kecergasan merupakan kekuatan yang terhasil di dalam urat saraf dan ketulan-ketulan daging dan menaikkan ketegangannya dari sendi-sendi yang menghubungkan anggota-anggota.

· Tanggapan atau kefahaman – terbahagi kepada 2 bahagian iaitu luaran (external sense) dan dalaman ( internal sense) :
I. Kekuatan luaran terdiri daripada 5 pancaindera (melihat, mendengar, merasa, sentuahan dan bau), mempunyai 4 kuasa iaitu dapat membezakan antara panas dan sejuk, kering dan basah, keras dan lembut serta kesat dan licin.
II. Sementara kuasa dalaman pula ialah keinginan yang digambarkan di dalam perasaan.

c. Jiwa Manusia
Jiwa manusia adalah penyempuranaan jisim tabi’i aa’li dari sudut melakukan perbuatan-perbuatan hidup dengan usaha pemikiran dan membuat kesimpulan dengan pendapatnya. Ia terbahagi kepada 2 iaitu:
· Kekuatan ‘amilah’ iaitu permulaan pergerakan bagi badan manusia yang melibatkan perbuatan-perbuatan juzuk yang khusus bergantung kepada kekuatan ‘‘nuzu’iyyah’’, kekuatan ‘mukhayyilah’ dan kekuatan ‘al-aql-nazari.
· Kekutan alimah pula ialah kekuatan memerhati gambaran-gambaran kulli yang sunyi daripada maddah. Kekuatan inilah yang menghasilkan makrifah dan ia mengandungi beberapa susunan iaitu:
I. Akal Potensi (phissance absolue material)
II. Akal Bakat ( intelligence habitude)
III. Akal Perbuatan (intelligence en acte)
IV. Akal yang Mengambil Manfaat ( intelligence acquise)
V. Khas untuk para nabi.

Menurut Ibnu Sina ‘ Akal yang Mengambil Manfa'at (Mustafad) merupakan darjat yang paling tinggi yang dapat di capai oleh manusia.

Menilai kembali kejadian jiwa samada jiwa tumbuhan, haiwan mahupun jiwa manusia, maka di sana dapatlah difahami bahawa kejadian jiwa di kalangan manusia adalah sesuatu yang unik. Ingin menjadi satu gejala yang boleh berpisah den berdikari tanpa jasad. Oleh kerana kewujudannya yang tersendiri, maka jiwa tidak menerima mati sepertimana yang dialami oleh jasad.
Jiwa haiwan dan tumbuh-tumbuhannya pula kehidupannya adalah untuk kepentingan kehidupan jasad manusia. Dengan adanya kedua unsur ini lah yang telah membolehkan jasad manusia terasa hidup buat sementara waktu sebelum mati. Jiwa haiwan dan tumbuhan tidak seperti jiwa manusia akan tamat serentak dengan kemusnahan jasad haiwan dan tumbuhan. Kekekalan jiwa manusia dan kebinasaannya ini telah menyebabkan kebangkitan di hari Qiamat kelak hanya berbentuk jiwa bukan jasad menurut Ibn Sina.

Rujukan : Muhammad ‘Utsman Najati (2002), Ibnu Sina; Jiwa dalam Pandangan Para Filosof.
Fauziah Harun. (1991) Konsep an Nafs menurut Ibnu Sina, Latihan Ilmiah.

No comments:

Post a Comment