Sunday, April 5, 2009

Tabiat Jiwa Menurut Ibnu Sina

Menurut Ibnu Sina, jiwa (al-nafs) ini mempunyai keistimewaannya terdiri yang berperanan terhadap tindak tanduk jisim. Ini kerana jisim amat memerlukan kepada jiwa sebagai sumber kehidupan. Kejadian jisim tidak akan memberi erti jika ia tidak dilengkapi dengan jiwa kerana antara perana jiwa ialah sebagai tempat lahir perasaan pergerakan dan persepsi.
Berbeza dengan jisim jiwa akan terus hidup meskipun terpisah dari jisim kerana ia merupakan jauhar yang terdiri dengan zatnya bukan dengan sifat jisim, sepertimana yang dijelaskan oleh Ibnu Sina dalam ‘al-syifa’. Bukanlah wujud al-nafs itu pada jisim seperti wujudnya sifat pada jisim. Berdasarkan hakikat ini. Jiwa bersifat kekal, kerosakan sesuatu jisim tidak akan mempengaruhi kekalan jiwa. Ini adalah kerana hubungan yang wujud antara jiwa dan jisim hanyalah hubungan tadbir, tingkah laku dan ketuanan memandangkan elemen jiwa lebih kuat daripada elemen jisim.
Setelah jsim mati, jiwa akan naik bertemu dengan Tuhannya berdasarkan kesesuaian firman Allah swt:
Wahai nafsu (jiwa) yang tenang (suci). Kembalilah kamu kepada Tuhanmu dengan (hati) redha dan diredhai (Tuhan). Maka masuklah kamu dalam golongan hamba-hambaKu. Dan masuklah kamu ke dalam Syurga-ku”

Menurut Ibnu Sina, jiwa itu merupakan jauhar yang ringkas, suci dari maddah, di mana ia tidak menepati ruang serta tidak terbatas dengan masa ataupun tempat, maka dengan sebab itu, jiwa tidak boleh dilihat dengan mata kasar kerana ia adalah jauhar rohani dan bukan bersifat seperti jisim. Jiwa juga bukanlah tercipta mendahului badan tetapi akan tercipta serentak dengan kejadian badan. Ini menunjukkan jiwa itu bukan bersifat qadim tetapi baharu.
Suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan bahawa jasad akan mula lemah apabila mencapai umur sekitar 40-an atau kurang daripada itu, tetapi kekuatan akal akan menjadi sebaliknya, lebih kuat selepas had umur tersebut. Sekiranya jiwa tunduk kepada jasad pasti jiwa akan turut dipengaruhi kelemahan jasad.
Jiwa juga turut disifatkan sebagai limpahan daripada alam roh yang datang dari satu sempat tinggi yang mulia ataupun limpahan (intelligence active). Kenyataan ini telah dirakamkan oleh Ibnu Sina dalam qasidahnya.

No comments:

Post a Comment